narrow default width wide
colour style colour style colour style colour style

Breadcrumbs

Carta Organisasi

SAMUR PROJEK HILIRAN ERA BARU UNTUK SABAH

 

170212-lead-1
LANCAR … Najib menyodok tanah sebagai gimik pelancaran upacara Pecah Tanah Projek Sabah Amonia Urea (SAMUR) di Kg Banting, Sipitang sambil diperhatikan oleh Musa, kelmarin.

17th February, 2012

SIPITANG: Projek Kilang Baja Urea Ammonia Sabah (SAMUR) yang merupakan projek hiliran pertama di Sabah disifatkan sebagai pembuka tirai kepada era baru di negeri ini menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini berikutan SAMUR yang merupakan pelan strategik di bawah Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) merupakan sebuah projek berskala dunia dan bakal memberi limpahan pembangunan di daerah tersebut.

Beliau berkata, projek bernilai RM4.6 bilion itu juga akan menjana kepesatan ekonomi kepada penduduk setempat dan membuka peluang pekerjaan sehingga 4,000 orang apabila ia bakal beroperasi pada 2015.

“SAMUR bukan sebuah projek yang alang-alang besarnya kerana ia melibatkan nilai berjumlah RM4.6 bilion dan rakyat Sabah harus berbangga kerana satu projek berskala dunia telah dibina di Sipitang.

“Hasil kilang ini dijangka mencecah 1.2 juta tan urea setiap tahun dan mempunyai nilai eksport kira-kira RM14.4 bilion setiap tahun, sekali gus bakal menjadikan Sipitang berada di satu ambang perubahan yang besar,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek Samur di sini kelmarin.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas dan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad.

Najib berkata, projek hiliran tersebut bukan sahaja akan memberi nilai tambah setiap tahun kepada pendapatan negara dalam sektor hiliran, malah ia bakal melakukan transformasi lankskap daerah Sipitang pada beberapa tahun akan datang.

Kata Perdana Menteri, sekitar 2,000 hektar tanah di daerah itu akan dimajukan sebagai industri minyak dan gas serta industri sampingan yang lain.

Katanya, SAMUR akan meningkatkan lagi sumbangan pendapatan NKEA bagi sektor minyak dan gas yang dianggarkan berjumlah RM241 bilion setahun menjelang 2020.

Mengulas kepentingan sumber alam tersebut, Najib berkata, pendekatan strategik di bawah NKEA perlu dilaksanakan termasuk melakukan usaha nilai tambah melibatkan kerja mencari gali di laut dan memajukan telaga minyak.

Selain itu kata beliau, eksport bahan mentah juga perlu ditukar kepada industri hiliran yang boleh menjana pendapatan lebihan kepada negara.

Mengulas lanjut beliau berkata menerusi projek berkenaan, pihak Petronas sendiri telah memberi jaminan bahawa 80 peratus tenaga kerja akan melibatkan warga tempatan dan perkara ini secara lansung membuka ruangan lebih besar terhadap peluang pekerjaan kepada rakyat jelata.

“Selain itu kini 44 individu dari Sabah telah mengikuti kursus latihan Petronas yang terletak di daerah Membakut yang mana dimulakan sejak Julai tahun lepas dan bakal berakhir pada Julai 2013 nanti.

“Sementara itu, kursus latihan bakal di buka lagi pada Julai 2013 nanti dan ia turut melibatkan warga tempatan juga,” katanya lagi.

- Sabah Times